Maurizio Sarri ingin kekal selama 10 tahun di Chelsea tetapi tahu dia memerlukan trofi untuk berbuat demikian -- bermula dengan Perisai Komuniti menentang Manchester City di Wembley, malam esok.

Sarri disahkan sebagai pengurus berbangsa Itali keenam di Chelsea dengan menggantikan Antonio Conte sebagai ketua jurulatih pada permulaan musim ini.

Sentuhan pertamanya dalam bola sepak Inggeris adalah menentang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) bimbingan Pep Guardiola itu dalam aksi pembuka tirai seperti lazimnya.

Kedua-dua jurulatih itu saling menghormati di antara satu sama lain ketika City menghadapi Napoli dalam dua pertemuan Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu. Malah, mereka sempat mengadakan pertemuan makan malam pada musim panas lalu bagi meraikan bekas pengurus AC Milan dan Itali, Arrigo Sacchi.

Dalam sidang akhbar sempena perlawanan esok, Guardiola mendedahkan Sacchi bersetuju dengan pendapatnya bahawa kancah Inggeris menghadirkan cabaran berbeza dan telah memberi amaran kepada Sarri agar berwaspada.

"Guardiola memberitahu saya bahawa cabaran di England sangat sukar," katanya. "Tahapnya sangat tinggi, sebab itulah dia menghadapi masalah pada musim pertamanya tetapi dia mengatakan bola sepak tetap sama di mana-mana sahaja.

"Sudah pasti, saya fikir setiap jurulatih masa kini mahu bekerja di England. EPL adalah di tahap terbaik di dunia, jadi apa yang boleh saya katakan? Saya boleh mengatakan bahawa saya sangat bertuah di sini," katanya.

Berapa lama dia mampu kekal bergantung kepada sejauh mana kemampuannya menghadiahkan gelaran buat Chelsea yang dahagakan kejayaan -- sesuatu yang Conte berjaya capai ketika memenangi Liga Perdana pada 2017 dan Piala FA musim lalu sebelum hubungannya dengan pihak pengurusan di Stamford Bridge retak.

"Saya rasa sangat mustahak untuk memulakannya dengan trofi," kata Sarri. "Adalah penting untuk melangkah ke hadapan. Bagi saya, jelas sekali adalah penting untuk memenangi sesuatu.

"Ia bergantung kepada kelab (berapa lama saya akan kekal). Jika saya mahu kekal di sini selama 10 tahun, saya perlu menang.

"Kemudian, ia bergantung kepada kelab tetapi saya mahu kekal di sini untuk tempoh yang lama."

Sarri percaya "keupayaan Guardiola untuk mengetengahkan corak yang diidamkan" meletakkannya sebagai salah seorang yang terbaik dalam bidang itu.

Pengurus City itu turut memuji rakan sejawatannya yang berusia 59 tahun itu kerana berjaya menerapkan corak tekanan tinggi dan menyerang dengan segera dalam siri perlawanan pra-musim mereka -- satu proses yang tidak diragui oleh The Blues setelah menandatangani pemain tengah Itali, Jorginho.

"Ia bergantung kepada pemain," kata Sarri ketika mempertimbangkan sama ada Chelsea masih berharap untuk menambah muka baru sebelum jendela perpindahan berakhir minggu depan.

"Kadang-kadang, ia menjadi kisah yang sangat panjang, ada masanya agak pendek seperti di Naples.

"Di Napoli, kami hanya mengalami kesulitan dalam tiga, empat perlawanan, tidak lebih daripada itu."