Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, merancang untuk mengutamakan pengambilan pemain sayap berbanding penyerang daripada AC Milan, Gonzalo Higuain, yang dikaitkan dengan pasukannya.

Kelab Inggeris itu tidak boleh mengharapkan ketajaman barisan penyerang mereka dengan Olivier Giroud dan Alvaro Morata hanya menjaringkan enam gol musim ini.

Giroud diketepikan ketika kemenangan 1-0 Chelsea ke atas Crystal Palace hujung minggu lalu dan meninggalkan Morata sebagai penyerang tunggal dengan aksi yang langsung tidak meyakinkan.

Higuain, yang pernah beraksi di bawah kendalian Sarri di Napoli sebelum ini, sedang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Stamford Bridge berikutan masalah jentera serangan yang dilalui Chelsea ketika ini.

Namun, Sarri mendedahkan dia tidak akan memanggil semula Tammy Abraham atau Michy Batshuayi yang masing-masing sedang dipinjamkan kepada Aston Villa dan Valencia.

Dia berasakan pengambilan pemain sayap baru lebih penting daripada penyerang.

"Tidak, kerana saya masih mempunyai pilihan seperti meletakkan Eden Hazard di posisi itu.

"Kami memiliki Morata dan Hazard boleh bermain di posisi itu dengan baik seperti dalam ketiga-tiga perlawanan lalu.

"Buat masa ini, saya tidak memerlukan sebarang penyerang baru.

"Kami mungkin memerlukan pemain sayap baru memandangkan Pedro, Callum Hudson-Odoi dan Ruben Loftus-Cheek sedang mengalami kecederaan.

"Kami mempunyai pilihan lain di bahagian serangan tetapi tidak di posisi sayap," katanya.