Maurizio Sarri berkata Eden Hazard "harus berpindah" sekiranya dia mahu meninggalkan Chelsea, sebaliknya menuntut pemain remaja berbakat, Callum Hudson-Odoi, agar segera memuktamadkan komitmen masa depannya bersama kelab itu atas dasar menghormati jurulatih akademinya.

Dalam sidang akhbar pra-perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menemukan Chelsea dengan Bournemouth awal pagi esok, Sarri sudah bersedia untuk kehilangan Hazard.

Tetapi pda masa sama, pengurus The Blues itu membuat kenyataan jelas bahawa dia menaruh harapan untuk melihat Hudson-Odoi kekal di Stamford Bridge meskipun pemain sayap itu dilaporkan telah mengemukakan permohonan untuk berpindah.

Hudson-Odoi telah membuat tiga penampilan liga untuk The Blues musim ini selain menyumbang gol dalam aksi Piala FA dan Liga Europa yang mendorong kelab itu untuk tidak menyenaraikannya dalam pasaran pemain.

Apabila ditanya sama ada pemain berusia 18 tahun itu terhutang budi dengan Chelsea, Sarri memberitahu pemberita: "Saya fikir begitu.

"Sudah tentu, dia merupakan pemain yang hebat. Dia akan menjadi salah seorang pemain terbaik di Eropah dan juga pasukan lain, namun dia haruslah menghormati usaha yang dilakukan oleh jurulatih akademi kami.

"Kami tidak bersikap terburu-buru terhadapnya kerana dia merupakan produk akademi. Saya tidak tahu sama ada di kelab lain, orang akan bertolak-ansur dengannya hanya selepas diturunkan dalam lima atau enam perlawanan.

"Bukan mudah untuk berhijrah ke negara lain dan menyesuaikan diri atau bermain dengan baik dengan serta-merta. Ia suatu keadaan yang sukar, lebih baik baginya untuk mencuba dan memperbaiki prestasinya di sini.

"Itulah pendapat saya, ia juga mungkin tidak tepat."

Bintang Belgium, Hazard, turut menjadi subjek spekulasi hangat apabila dikaitkan ke Real Madrid dan baru-baru ini, dia membalas kritikan Sarri dengan mengatakan "saya tidak peduli dengan apa yang diperkatakan pengurus".

Sarri mengulangi kenyataannya itu dengan menganggap Hazard adalah pemain bercirikan "individu" dan bukan "pemimpin" sambil mendedahkan pemain itu tidak mempunyai keinginan untuk memenuhi potensinya.

"Keadaan Eden adalah berbeza," kata Sarri, yang merehatkan Hazard dalam kemenangan Piala FA di Sheffield (hujung minggu lalu) selepas merakamkan gol ke atas Tottenham dalam aksi separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL), Khamis lalu.

"Eden kini berumur 28 tahun. Jika dia mahu pergi, saya fikir dia terpaksa pergi.

"Sudah tentu, saya harap ia akan menjadi sesuatu yang bertentangan. Saya harap dia mahu kekal bersama kami dan meningkatkan prestasinya dan dia berpotensi untuk menjadi pemain terbaik di Eropah.

"Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk terus menggilap permainannya dan meletakkannya dalam kedudukan untuk menyerlahkan aksi terbaik. Kadang-kadang dalam sidang media, saya perlu mengatakan sesuatu dan ia adalah sesuatu yang normal.

"Namun, saya sangat gembira dengan prestasinya dalam perlawanan terakhir membabitkannya."