Eden Hazard merupakan antara pemain terbaik Eropah tetapi mampu menambah jumlah gol dalam permainannya untuk berdiri sebaris dengan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, kata pengendali Chelsea, Maurizio Sarri.

Hazard dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid untuk menggantikan Ronaldo selepas bintang Portugal itu meninggalkan ibu negara Sepanyol itu dan berhijrah menyertai juara Itali, Juventus.

Sarri yakin Hazard akan kekal bersama The Blues tatkala Chelsea tidak boleh mendapatkan pengganti sekiranya bintang Belgium itu meninggalkan pasukan memandangkan jendela perpindahan di England telah ditutup.

Kini, pengendali Chelsea itu yakin Hazard masih mampu meningkat walaupun menyumbat sekurang-kurangnya 12 gol dalam saingan liga, empat daripada lima musim keseluruhan di Stamford Bridge.

"Secara teknikal, Hazard adalah antara bintang terbaik Eropah ketika ini, itu pendapat saya," ujar Sarri.

"Dia harus berusaha daripada sudut fizikal. Ia bergantung kepada posisinya di atas padang. Dalam lima tahun terakhir, Ronaldo beraksi selaku penyerang. Messi juga seperti penyerang tetapi Hazard lebih kepada sayap. Dia masih boleh meningkat.

"Kita bercakap tentang salah seorang pemain paling penting di Eropah dan kini, bagi saya, dia boleh berkembang dengan bagus.

"Dia mampu menjadi pemain paling utama dan ia bergantung kepada dirinya. Terbaik dalam skil teknikal, dalam menjaringkan gol, dia mampu tetapi segala-galanya bergantung kepada pemikiran Hazard.

"Chelsea merupakan salah satu kelab yang penting di Eropah. Saya rasa status itu membuatkan sesebuah kelab itu tidak boleh melepaskan pemain penting tanpa membawa masuk pengganti yang berada di tahap yang sama.

"Pertama kali saya bercakap dengannya, saya pasti dia akan kekal. Jadi, saya hanya memikirkannya selama 20 hari, tidak lebih daripada itu."

Chelsea akal berdepan Arsenal dalam aksi liga awal pagi esok dan Sarri menjangkakan The Gunners yang turut menerima sentuhan pengendali baru, Unai Emery, akan mencabar pasukannya untuk berada dalam kelompok empat terbaik.

"Arsenal mampu menjadi pencabar utama untuk kelab kami mencapai sasaran. Mereka akan merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah," tambah Sarri.

"Kami mampu menamatkan saingan di atas mereka tetapi saya tidak tahu. Saya rasa mereka akan menjadi kompetitif untuk mendapatkan tempat ke Liga Juara-Juara.

"Tentunya ia tidak mudah tetapi saya rasa Emery memiliki kemampuan untuk memulakan era baru. Dia memenangi tiga trofi Liga Europa dan memenangi kejuaraan di Perancis, jadi kita sedang bercakap tentang pengurus yang bagus. Saya yakin mereka telah mempersiapkan diri dengan baik ketika pra-musim.

"Pada musim ini, Arsenal akan meningkat dan beraksi secara kompetitif demi mendapatkan kedudukan yang baik," katanya lagi.