EVERTON 2 CHELSEA 0

Maurizio Sarri bingung dengan kemerosotan prestasi Chelsea dalam babak kedua yang mengakibatkan mereka tewas 0-2 kepada Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, awal pagi tadi.


Pelawat bermula baik dalam babak pertama dengan mencipta beberapa peluang jaringan dengan Sarri melabel aksi itu sebagai yang terbaik sepanjang musim ini.

Bagaimanapun, kelemahan mereka untuk memanfaatkan penguasaan itu bagi menghasilkan gol mengakibatkan mereka terlepas peluang untuk kembali menduduki kedudukan ke Liga Juara-Juara Eropah apabila Richarlison dan Gylfi Sigurdsson menjaringkan gol buat Everton dalam babak kedua.

Kekalahan itu menyukarkan peluang Chelsea untuk kembali ke kelompok empat terbaik dengan dipisahkan tiga mata di belakang Arsenal menjelang lapan perlawanan terakhir musim ini.

"Saya berasakan situasi ini sudah jelas. Kami memaparkan aksi terbaik musim ini dalam 45 minit pertama dan secara tiba-tiba, kami menghentikannya sebaik babak kedua bermula. Saya tidak tahu mengapa," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Ia amat mustahil untuk dikaitkan dengan masalah fizikal kerana kami turun beraksi dengan baik, namun tidak dalam babak kedua.

"Kami bermain dengan amat baik pada penghujung babak pertama dan secara tiba-tiba bermain dengan amat buruk pada permulaan babak kedua.

"Amat sukar untuk pemain menjelaskan kepada saya tentang perubahan itu.

"Amat sukar untuk saya menjelaskan kepada anda tentang perubahan itu.

"Mungkin ia berkaitan dengan pemikiran," katanya.

Sarri, yang melalui tiga kekalahan di laman lawan sepanjang tahun ini, menolak dakwaan bahawa pemainnya tidak memberikan respons terhadap pendekatannya memberikan dorongan.

"Tidak, ia tiada kena-mengena dengan dorongan kerana kami memulakan perlawanan ini dengan baik, dengan keamatan dan pemikiran yang tinggi," katanya kepada Sky Sports.

"Jika anda tidak bermain dengan taktikal, anda tidak bermain dengan apa-apa sistem.

"Kami sudah mengubah sistem tetapi ia masih seperti itu.

"Masalahnya adalah pemikiran.

"Jika anda mempunyai masalah pemikiran di atas padang, sistem dan taktik sahaja tidak mencukupi," tambahnya.