Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, belum mendengar sebarang perkhabaran daripada pemilik kelab, Roman Abramovich, meskipun mengatakan bahawa dia akan berasa "gembira" untuk berbincang dengan pemilik itu selepas kekalahan memalukan 0-6 di tangan Manchester City.

Barisan kendalian Sarri itu tumbang dengan menyaksikan Sergio Aguero menyamai rekod 11 hatrik terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kemenangan di Stadium Etihad itu.

Chelsea turut tumpas 0-4 kepada pasukan di pertengahan liga, Bournemouth, dua minggu lalu.

Bercakap kepada Italian TV selepas perlawanan itu, Sarri mendedahkan bahawa beliau ingin bercakap dengan Abramovich kerana "saya tidak pernah mendengar khabar daripadanya", sambil meluahkan tidak pasti mengenai masa depannya di kelab itu.

Pemilik Russia itu masih belum menuntut sebarang penjelasan tatkala Sarri mempersiapkan pasukannya untuk bangkit ketika berdepan Malmo dalam pusingan 32 Liga Europa, awal pagi esok.

"Tidak pada minggu ini," kata Sarri kepada pemberita apabila ditanya sama ada beliau telah bercakap dengan Abramovich lagi. "Semuanya bergantung kepada presiden. Bukannya kami tidak pernah berbincang, cuma tidak terlalu kerap.

"Rundingan saya berlangsung dalam bahasa Itali. Saya akan bercakap dengan beliau tetapi bukanlah minggu ini.

"Saya ingin bercakap dengan seseorang di kelab ini, tidak semestinya pemiliknya. Saya ada bercakap dengan Pengarah, Marina (Granovskaia), dan saya berasakan ia sudah memadai."

Sarri akur minggu ini adalah sukar untuk diharungi berikutan kekalahan kepada City meskipun menegaskan motivasi bukanlah isu kepada mereka dalam aksi di Etihad.

"Sudah tentu ia bukannya mudah," katanya. "Selepas perlawanan seperti di Manchester itu, ini adalah sesuatu yang normal. Esok tidak akan menjadi aksi yang mudah selepas kami menempa kekalahan 0-6.

"Kami mahu bermain dengan baik dan menang, ia tidak mudah. Malmo sebuah pasukan yang padat dan ampuh selain mempunyai pertahanan yang bagus, kami mahu menang.

"Perlawanan terakhir bukanlah berkenaan masalah motivasi. Dalam tempoh empat atau lima minit yang pertama, kami bermula dengan baik. Kami cuma tidak dapat bertindak balas.

"Kami perlu menyelesaikan masalah ini. Kadangkala, misalnya ketika menentang Tottenham dalam EPL, kami tidak menerapkan pendekatan yang tepat. Ia satu perlawanan berbeza.

"Kami melakukan persiapan dengan baik, kami mempunyai motivasi yang betul. Kami dibolosi gol dan tidak mampu berbuat apa-apa."