Leroy Sane menempah nama dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini apabila membantu Manchester City muncul juara dan telah dinobatkan sebagai Pemain Remaja Terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA).

Pemain kebangsaan Jerman itu menjadi kunci kejayaan City dalam musim kedua Pep Guardiola mengendalikan pasukan itu, dengan menjaringkan sembilan gol dan melakukan 12 bantuan jaringan.

Dia merupakan pemain gantian yang tidak diturunkan ketika Swansea dibelasah 5-0 dalam aksi pertama di laman sendiri selepas mereka diangkat sebagai juara EPL.

Bekas bintang Schalke itu dijangka memainkan peranan besar buat Jerman dalam usaha mereka mempertahankan gelaran juara dunia di Russia nanti.

"Saya sangat berbangga kerana memenangi anugerah ini, terima kasih kepada rakan sepasukan, jurulatih, penyokong dan seluruh Man City.

"Tahniah kepada pemain-pemain yang tersenarai untuk memenangi anugerah ini kerana saya berasakan mereka juga berhak memenanginya. Mereka bermain dengan baik bersama kelab masing-masing," katanya.