Leroy Sane bergerak "dengan baik" tetapi masih tidak memiliki skala masa untuk pemain itu kembali beraksi bersama Manchester City.

Sane kembali berlatih penuh bersama skuad kendalian Pep Guardiola itu selepas diketepikan sejak Ogos lalu kerana mengalami kecederaan ligamen lutut dalam perlawanan Perisai Komuniti.

Guardiola berpuas hati dengan apa yang telah dipamerkan bekas penyerang Schalke itu dalam sesi latihan tetapi enggan memberikan tempoh masa untuk Sane kembali beraksi.

"Dia bergerak dengan baik," kata Guardiola.

Ditanya mengenai skala masa, beliau berkata, "Saya tidak tahu, dia masih perlukan sedikit lagi masa."

Sane telah dikaitkan dengan perpindahan menyertai Bayern Munich sebelum mengalami kecederaan lutut selepas menolak tawaran untuk melanjutkan kontrak bersama City.

Bagaimanapun, terdapat cadangan untuk dia kembali ke Jerman tapi ia tidak lagi menjadi perbualan.

"Saya tidak mendengar sebarang berita," kata Guardiola.

"Anda perlu bertanya kepada pengarah kelab, Txiki Begiristain. Maklumat terakhir yang saya ada adalah kami telah menawarkan kontrak kepada Sane dan dia menolaknya."

Pertahanan tengah, Aymeric Laporte, terlepas dua perlawanan selepas kembali beraksi sejak pulih daripada kecederaan lutut ketika berdepan Sheffield United, 21 Januari lalu.

"Laporte tidak mengalami masalah, cuma kepenatan -- dia tidak mengalami sebarang kecederaan. Mungkin dia akan kembali beraksi berdepan Spurs," tambah Guardiola.




Editor: Ammar Hakim