Sane bakal jalani pembedahan lutut di Austria

By Staff Writer 17 August 2019 693
Sane bakal jalani pembedahan lutut di Austria
Leroy Sane akan menjalani pembedahan lutut di Austria.

Pemain sayap Manchester City itu -- yang dikaitkan dengan perpindahan ke Bayern Munich sebelum jendela perpindahan berakhir di England -- mengalami kecederaan itu ketika menewaskan Liverpool dalam saingan Perisai Komuniti, 4 Ogos lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu dijangka diketepikan selama tujuh bulan, sekali gus menyebabkan City bakal beraksi tanpa pemain Jerman itu untuk hampir keseluruhan musim 2019-20.

Dia bakal menjalani pembedahan itu setelah pengendali, Pep Guardiola, memberitahu satu sidang media menjelang pertemuan dengan Tottenham Hotspur: "Saya rasa pembedahan itu akan dijalankan hujung minggu ini."

Omnisports difahamkan pembedahan itu akan dilakukan di Austria oleh Profesor Christian Fink.

Sebelum ini, City kerap menggunakan khidmat pakar dari Barcelona, Dr Ramon Cugat, sewaktu merawat John Stones, Kevin de Bruyne, Ilkay Gundogan, Vincent Kompany dan Claudio Bravo tetapi Sane memilih Fink untuk menjalani rawatan itu.

Benjamin Mendy merupakan pesakit tetap Cugat sejak menyertai City pada 2017 dan Guardiola mahu melihat bek kiri Perancis itu -- yang sedang menjalani pemulihan kecederaan lutut -- mengekalkan kecergasan menuju musim ketiga bersama kelab.

"Apa yang saya mahukan adalah Mendy cergas, sedia untuk sesi latihan setiap minggu," ujar Guardiola.

"Itu sasarannya. Berdasarkan kualiti yang dimiliki, dia akan membantu pasukan. Apabila turun beraksi, dia mempamerkan persembahan bagus.

"Anda sedar dia perlu beraksi tetapi hampir dua tahun dia tidak turun secara kerap. Kami memerlukannya untuk pergerakan dan rentak permainan.

"Sasaran utama bukan fokus untuk beraksi tetapi tampil cergas selama sebulan, berlatih secara konsisten, bersedia dan sudah tentu dia berpeluang untuk beraksi."

About Author

Staff Writer

Comment