Alexis Sanchez tidak mendapat pelepasan daripada kem latihan Chile tatkala spekulasi mengenai perpindahan ke Manchester City semakin memuncak.

Sanchez telah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City untuk sekali lagi disatukan dengan bekas pengendali Barcelona, Pep Guardiola dengan pemainberusia 28 tahun itu memasuki tahun terakhir kontraknya.

Difahamkan, Arsenal telah pun menolak tawaran GBP50 juta (RM275 juta) semalam dengan tawaran seterusnya dijangka mencecah GBP70 juta (RM385 juta).

The Independant melaporkan City telah pun menghantar wakil bagi melengkapkan perpindahan itu.

Skuad kendalian Juan Antonio Pizzi ketika ini sedang mempersiapkan pasukan menghadai kelayakan Piala Dunia berdepan Paraguai dan Bolivia denga La Tercera melaporkan Sanchez mungkin berdepan kecaman daripada penyokong selepas diminta untuk dilepaskan.

Bercakap di sidang media menjelang aksi berdepan Paraguay di Estadio Monumental David Arellano hari ini, Pizzi menegaskan tidak pernah memberikan sebarang pelepasan.

"Laporan itu tidak betul. Kami tidak pernah memberikan kebenaran itu," katanya.

"Kadang kala permintaan pemain memerlukan kelulusan dan ada masanya kami benarkan dan ada masa tidak.

"Saya tidak suka bertegas tetapi setiap kes berbeza. Kami perlu menilai setiap situasi pemain terlebih dahulu.

"Tetapi keutamaan sentiasa diberikan kepada kem kebangsaan."

Arsenal mengalami kekalahan 4-0 kepada Liverpool minggu lalu dengan kelab Merseyside itu dilaporkan semakin hampir mendapatkan khidmat Alex Oxlade-Chamberlain daripada The Gunners.

Meskipun senario musim lalu dijangka bakal berulang di Emirates, namun Pizzi berpendapat Sanchez tiada sebab untuk berasa tidak puas hati seandainya tidak berhijrah.

"Tiada sebab untuk rasa tidak berpuas hati. Keluar atau tidak kedua-dua pilihan adalah baik untuknya.

"Dia seorang pemain hebat yang dilatih jurulatih berkelas dunia. Keadaannya di Arsenal cukup mengagumkan."