Pengendali Manchester United, Jose Mourinho, menjelaskan bahawa Alexis Sanchez tidak mahu meninggalkan skuad The Red Devils itu.

Pemain Chile itu menyertai United daripada Arsenal 10 bulan lalu tetapi dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri di Old Trafford.

Pemain berusia 29 tahun itu hanya menyumbat satu gol dalam 11 penampilan musim ini sehingga mencetuskan kekecewaaan akibat gagal meneruskan rentak cemerlang ketika bersama kelab utara London itu.

Laporan mengatakan bahawa Sanchez akan cuba meninggalkan United, Januari ini, tetapi Mourinho yakin bekas pemain Barcelona itu akan mampu mengatasi cabaran di Manchester.

"Saya tidak rasa begitu kerana dia tidak pernah menyatakan mahu berhijrah atau tidak gembira untuk kekal," kata Mourinho yang mendakwa dia tidak akan mengubah caranya mengikut kemahuan pemain.

"Itu cara saya. Ia perkara peribadi yang berkaitan dengan falsafah saya," katanya.

Seperti United, Sanchez juga bergelut mencapai tahap konsisten musim ini tetapi Mourinho percaya dia sudah mula menemui jalan penyelesaian.

"Sanchez terus meningkat, sama seperti United.

"Apabila beraksi, dia menunjukkan personaliti, keinginan untuk bermain dan menyumbang buat pasukan. Dia juga cuba menyesuaikan diri dengan corak permainan kami. Saya rasa kami semua akan dapat melakukannya dengan lebih baik.

"Saya, dia dan juga semua pemain mampu mempamerkan peningkatkan lebih bagus."