Alexis Sanchez telah menolak cadangan dia akan berhijrah dari Arsenal serta menegaskan dia gembira di Stadium Emirates.

Pemain kebangsaan Chile itu dikhabarkan bakal berhijrah dari kelab selepas gagal mencapai persetujuan dalam perbincangan mengenai pembaharuan kontraknya yang bakal tamat pada 2018.

Sanchez dilihat kecewa dengan persembahannya beberapa minggu ini, membuang sarung tangannya ketika seri 3-3 dengan Bournemouth, selepas berang dengan keputusan pengendali pasukan, Arsene Wenger, menggantikannya ketika menang 4-0 ke atas Swansea City.

Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu berkata dia enggan mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab, malah mahu membantu pasukan memenangi gelaran musim ini.

"Saya sangat gembira dan selesa bersama Arsenal," kata Sanchez.

"Saya mahu membantu Arsenal meraih takhta yang baru. Kami perlu memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) atau Liga Juara-Juara (UCL) untuk penyokong-penyokong kami. Saya percaya kami memiliki pemain dan kualiti untuk bergelar juara.

"Saya berasakan saya adalah pemain yang penting, dan rakan sepasukan memberitahu kepada saya setiap hari. Saya cuba untuk membuktikannya dalam setiap perlawanan."

Prestasi cemerlang Sanchez dalam kempen ini merupakan hasil gandingan bersama Mesut Ozil dan sangat selesa beraksi bersama pemain kebangsaan Jerman itu.

"Ozil merupakan pemain yang berkualiti, dia sangat menikmati masa bermain bola sepak. Saya sangat selesa bergandingan dengannya."