Pemain tengah Arsenal, Alex Oxlade-Chamberlain, memuji Alexis Sanchez yang sering mendahagakan kejayaan dan berasakan pemain itu mempunyai aura untuk membuat pemain lain beraksi dengan lebih baik.

Pemain berusia 28 tahun itu terbukti menjadi tonggak utama The Gunners musim ini apabila telah pun menyumbangkan 20 gol dalam 34 penampilan dan Oxlade-Chamberlain kagum dengan perwatakan bekas pemain Barcelona itu.

"Saya berpeluang mengenali beberapa pemain tetapi Sanchez antara pemain yang mampu membuat rakan sepasukan beraksi dengan lebih baik," katanya kepada Arsenal Player.

"Walaupun kami melakar kemenangan, dia masih tidak gembira. Contohnya ketika menang 2-0 ke atas Crystal Palace, di hujung perlawanan dia membuat hantaran kepada saya tetapi rembatan saya berjaya diselamatkan Wayne Henessey.

"Ketika semua pemain bergembira di dalam bilik persalinan, dia datang kepada saya dan berkata: 'Kawan, kamu mahu menjaringkan gol atau tidak? Saya sudah menghantar bola kepada kamu, tetapi kamu menunggu bola terlalu lama sebelum melakukan rembatan! Saya cuma ketawa dan berseloroh: 'Saya minta maaf...'

"Dia mahu melakukan bantuan jaringan di samping menjaringkan gol. Dia sentiasa sahaja mendahagakan kejayaan dan aura itulah yang dia salurkan kepada kami.

"Kami memiliki pelbagai perwatakan di dalam skuad tetapi Alexis memiliki perwatakan yang paling kuat."