Chile menerima suntikan semangat menjelang aksi kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan berdepan Argentina apabila Alexis Sanchez dilaporkan cergas untuk beraksi.

Bintang Arsenal itu meledak gol ketika tewas 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada West Brom kelmarin tetapi terpaksa meninggalkan padang pada separuh masa kedua kerana mengalami kecederaan buku lali selepas diterjah oleh pertahanan lawan, James McClean.

Pengurus The Gunners, Arsene Wenger, menjelaskan kecederaan buku lali penyerang itu "agak serius".

Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu kembali bersama pasukan Chile untuk membuat persiapan berdepan Argentina dan Venezuela.

Laporan pegawai perubatan Chile mengesahkan Sanchez bebas daripada kecederaan dan bersedia untuk berdepan skuad kendalian Edgardo Bauza di Buenos Aires pada Khamis.