Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, percaya terdapat sesetengah pemain yang perlu wujud dalam setiap pasukan dan salah seorang daripadanya adalah bintang Arsenal, Alexis Sanchez.

Sanchez dikaitkan dengan Manchester City sejak awal musim ini dan dijangka berhijrah ke Etihad bulan ini atau sekurang-kurangnya akan meninggalkan Emirates secara percuma sebaik sahaja kontraknya tamat Jun depan.

Bagaimanapun, media melaporkan City tidak dapat memenuhi permintaan harga yang diminta Gunners, sekaligus membuka ruang buat United untuk cuba mendapatkan khidmat pemain Chile itu, terutama apabila Mourinho melabelkan pemain tersebut sebagai "luar biasa".

"Saya tidak pasti sama ada patut atau beretika untuk bercakap tentang pemain daripada pasukan lain. Jika seseorang bercakap tentang pemain saya, tentunya ia bukan sesuatu yang menggembirakan. Sanchez adalah pemain Arsenal, jadi saya tidak rasa patut untuk saya berbicara tentangnya.

"Secara umum, saya dan pihak United tidak begitu mempercayai musim perpindahan Januari mampu mengubah sesuatu perkara. Apa yang kami percaya adalah wujud sesetengah pemain di dalam dunia yang anda harus dapatkan, tidak kira bila waktunya.

"Mengenai Sanchez, saya tidak boleh bercakap apa-apa. Cuma saya boleh katakan bahawa dia seorang pemain yang luar biasa tetapi dia adalah pemain Arsenal," kata Mourinho.

Mourinho dikatakan cuba untuk menambah kekuatan serangan pasukannya selepas masalah kecergasan yang dihadapi oleh penyerang utama musim lalu, Zlatan Ibrahimovic, masih belum selesai dan dijangka terpaksa direhatkan sehingga bulan depan.

"Ibrahimovic masih cedera dan dia tidak gembira dengan keadaannya.

"Dia mungkin kembali pada hujung bulan ini atau awal bulan depan, jadi diharapkan dia segera kembali kerana kami amat memerlukannya," tambah Mourinho.