Granit Xhaka berpendapat bintang Chile dan rakan sepasukan di Arsenal, Alexis Sanchez, adalah contoh terbaik kepada pemain muda kelab itu.

Sanchez berada di tahap terbaiknya musim ini apabila menyumbang 16 gol dalam 27 penampilan buat The Gunners.

Namun, pemain itu dikecam baru-baru ini susulan gagal mengawal emosi tatkala melakar keputusan 3-3 dengan Bournemouth dan ketika dikeluarkan dalam perlawanan berdepan Swansea City.

Bagaimanapun, Xhaka yakin perwatakan bekas pemain Barcelona itu menjadi contoh terbaik buat semua pemain di Arsenal.

"Dia seorang pemain contoh kerana dia sering saja memberikan yang terbaik, tidak kira ketika sesi latihan atau dalam perlawanan," kata Xhaka di laman sesawang Arsenal.

"Dia mampu menjadi teladan kepada pemain muda."

Prestasi mantap Sanchez musim ini telah memastikan Arsenal kekal dalam perebutan kejuaraan musim ini, namun mereka perlu memastikan enam mata dalam tangan apabila berdepan Burnley dan Watford selepas ini.

"Tiga perlawanan selepas ini mampu menjadi titik penting buat Arsenal musim ini," tambah Xhaka.

"Ketika aksi pertama berdepan Burnley pada awal musim, gol kemenangan hadir di lewat permainan. Mereka bertahan dengan cukup baik, jadi ia agak sukar tetapi beraksi di laman sendiri, kami perlu menang.

"Penting untuk kami menjaringkan gol awal berdepan mereka. Jika kami mampu melakukannya, kami akan memenangi perlawanan ini."