Penyerang Manchester United, Alexis Sanchez, mengakui bimbang gagal memberikan kegembiraan kepada penyokong kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Sanchez bergelut mencari rentak dan kecergasan sejak menyertai United daripada Arsenal, Januari lalu, dengan pemain berusia 30 tahun itu sekadar menjaringkan lima gol sebagai pemain The Red Devils.

Pengendali sementara United, Ole Gunnar Solskjaer, berkata beliau tidak mampu membantu Sanchez selepas bekas bintang Barcelona itu mempamerkan aksi mengecewakan ketika tewas 2-0 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi Liga Juara-Juara.

Menjelang pertemuan dengan Chelsea untuk perlawanan pusingan kelima Piala FA, Sanchez berazam untuk mempamerkan aksi terbaik di Old Trafford.

"Beliau (Solskjaer) belum bercakap dengan saya mengenai apa yang harus dilakukan di atas padang tetapi saya berasakan sebagai pemain berpengalaman dan saya mengetahui apa yang harus dilakukan," kata Sanchez.

"Saya seorang pemain yang mendapatkan bola, jika tidak saya akan kehilangan rentak. Saya mahu beraksi dalam setiap perlawanan.

"Ia bukan alasan beraksi selama 10 atau 20 minit. Saya perlu mempamerkan yang terbaik dan mengubah nasib pasukan.

"Saya mahu menghadirkan kegembiraan kepada pasukan. Ia amat membimbangkan saya jika gagal melakukannya."