Karl-Heinz Rummenigge menjelaskan tindakan Bayern Munich untuk meminjamkan Renato Sanches ke Swansea City.

Omnisport difahamkan kelab Liga Perdana Inggeris itu yakin dapat menyempurnakan perpindahan semusim bagi pemain tengah Portugal itu sebelum berakhirnya jendela perpindahan pemain.

Juara Euro 2016 itu bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama di Allianz Arena dan walaupun Sanches dikaitkan dengan kelab besar antaranya Chelsea, Liverpool, Manchester United, Juventus, AC Milan dan Monaco, pengerusi Rummenigge mengenal pasti Swansea -- yang dikendalikan bekas penolong jurulatih Carlo Ancelotti, Paul Clement -- sebagai destinasi paling sesuai untuk membangunkan pemain itu.

"Kami mahu Renato sertai kelab di mana dia dapat beraksi di tahap tertinggi di samping bermain di bawah kendalian jurulatih yang memerlukan khidmatnya," Rummenigge memberitahu Kicker.

"Renato perlu bermain dengan kerap dan peluang itu tidak dapat kami persembahkan ketika ini."

Menurut Kicker, Bayern akan mendapat bayaran pinjaman sebanyak GBP8 juta (RM44 juta) untuk Sanches dan Swansea tidak akan mendapat pilihan untuk membeli pemain itu di hujung musim ini.

Sanches sertai Bayern daripada Benfica Mei tahun lalu namun sekadar membuat 25 penampilan dengan 16 daripadanya selaku pemain gantian.