Mohamed Salah kini telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu yang dialami ketika final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu berdepan Real Madrid dan tidak sabar untuk menghadapi saingan musim baru, kata pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.

Salah mengalami kecederaan bahu susulan pergelutan dengan Sergio Ramos pada Mei lalu, yang menyaksikan The Kop tewas 3-1, membolehkan Los Blancos menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut.

Kecederaan itu membuatkan impian Piala Dunia Salah tercalar, membuatkannya tidak dapat beraksi dalam aksi pembukaan bertemu Uruguay hingga menyaksikan Mesir tewas 1-0.

Salah disahkan boleh beraksi ketika pertemuan dengan Russia dan Arab Saudi, namun dia gagal membantu pasukannya meraih sebarang mata.

Bagaimanapun, bekas bintang AS Roma itu kembali ke tahap sebenar dan kini telah menyertai kem Liverpool di Amerika Syarikat untuk aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) berdepan Borussia Dortmund, awal pagi esok.

"Dia telah pulih sepenuhnya dan tampak bagus. Kami sentiasa berhubung," kata Klopp.

"Salah seorang individu yang sangat serius dan dia tahu tentang kariernya. Jika anda tidak boleh bermain, anda tidak akan melakukannya. Dia kelihatan girang dan gembira untuk kembali.

"Semestinya bagus dapat melihat Salah dan Sadio Mane. Mereka melalui tahun yang getir tetapi tidak sabar untuk menghadapi saingan musim akan datang.

"Mereka melakukan apa yang sepatutnya dan boleh memulakan persiapan lebih awal daripada waktu sebenar. Musim ini akan bermula pada 12 Ogos, jadi ia bagus."