Bekas pemain tengah Liverpool, Charlie Adam, tidak berasakan Mohamed Salah akan mendapat tempat dalam kesebelasan utama Real Madrid di sebalik aksi cemerlangnya musim ini.

Pemain kebangsaan Mesir itu menikmati musim sulung yang cemerlang di Anfield selepas berpindah dari Roma, Ogos lalu, dengan menjaringkan 37 gol dalam semua kejohanan buat skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Prestasi cemerlang pemain berusia 25 tahun itu meraih pujian di serata dunia, termasuk laporan yang menyatakan Real Madrid dan Barcelona berminat mendapatkan khidmatnya, tetapi Adam tidak yakin dia mampu mendapatkan tempat dalam skuad gergasi Eropah.

"Ke mana dia akan pergi? Adakah dia akan dapat masa bermain di Real Madrid? Mampukan dia dapat beraksi bersama Barcelona?" kata Adam.

"Saya berasakan dia lebih baik kekal bersama The Reds."

Liverpool ketika ini menghuni tangga ketiga dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), ketinggalan 18 mata kepada pendahulu, Manchester City, tetapi bakal berdepan mereka dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL).

Anfield tidak meraih kejayaan menjuarai liga sejak 1990 tetapi Adam memiliki keyakinan bekas kelabnya itu mampu menamatkan kemarau itu.

"Mereka mampu menjuarai liga. Kehadiran beberapa pemain lagi akan memperkuatkan skuad ini," tambahnya.