David Wagner menyifatkan kemenangan mengejut 2-1 Huddersfield Town kendaliannya ke atas Manchester United “salah satu detik paling membanggakan” dalam karier pengurusannya.

Huddersfield menyerlahkan prestasi cemerlang di Stadium John Smith semalam, dengan menyumbat dua gol pantas selepas kira-kira setengah jam permainan berlangsung bagi memberikan United tugas sukar untuk kembali bangkit.

Gol-gol Aaron Mooy dan Laurent Depoitre kesudahannya tidak mampu diatasi di sebalik jaringan lewat Marcus Rashford, dan Wagner amat gembira untuk mengakhiri rentetan enam perlawanan tanpa kemenangan dengan kejayaan bermakna.

“Saya berkata kepada pemain-pemain bahawa saya tidak menjangkakan satu keputusan baik tapi mahu mempercayai ia mampu diraih,” katanya kepada wartawan.

“Itulah sebabnya ia amat besar maknanya buat kami. Ia satu detik amat membanggakan bahawa kami mampu menundukkan Manchester United di halaman sendiri.

"Dalam satu perlawanan, anda mungkin berpeluang. Jika ada peluang, cubalah manfaatkannya. Hari ini adalah detik buat kami kerana kami berada pada tahap terbaik dan mereka pula mungkin tidak.

“Huddersfield yang kerdil telah menundukkan Man United dan ia adalah salah satu detik paling membanggakan dalam karier pengurusan saya. Ia membuatkan saya sangat gembira.

"Ia satu lagi bab dalam cerita dongeng yang kami mulakan hampir dua tahun lalu. Ia menunjukkan apa saja berkemungkinan dalam bola sepak.

“Keputusan ini sangat luar biasa tapi kami harus kekal merendah diri,” katanya lagi.