Mohamed Salah akan sebaris dengan Lionel Messi jika dia dapat mengekalkan prestasi luar biasanya musim ini, kata rakan sepasukan di Liverpool, Andy Robertson.

Salah menyumbangkan 36 gol untuk barisan bimbingan Jurgen Klopp itu dan yang terbaru, mencetak empat gol menakjubkan ketika membelasah Watford 5-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Sentuhan berbisanya itu menjadikan pelaburan £36.9 juta (RM203j) Liverpool kepada AS Roma untuk khidmat tonggak berusia 25 tahun kelihatan lebih murah, lalu Robertson menganggap Salah seharusnya menyasarkan pencapaian lebih tinggi.

"Messi telah melakukannya selama bertahun-tahun. Mo sedang mengharungi kerjaya yang hebat, namun saya fikir dia kini benar-benar mencapai kemuncak prestasinya dan masih muda," kata bek kiri Scotland itu kepada Sky Sports News.

"Mudah-mudahan jika dia boleh meneruskannya, dia akan berada dalam kalangan itu tetapi ketika ini saya menganggap tiada pemain yang lebih baik daripadanya.

"Dia perlu mengekalkan prestasinya dan musim depan cukup penting baginya kerana semua orang akan menaruh harapan kepadanya. Jika dia dapat menyahut seruan ini, saya fikir dia akan menjadi salah seorang pemain terbaik dunia," katanya.

Sementara itu, Robertson yang mengukuhkan posisinya dalam perancangan utama Jurgen Klopp di pertahanan kiri mendedahkan kehadiran Salah dalam latihan membuatkannya lebih fokus.

"Lebih mudah beraksi di sampingnya berbanding menentangnya, itu pasti!" tambahnya.

"Dalam latihan, saya fikir semua orang gusar berhadapan dengannya. Dia merupakan salah seorang pemain terbaik dan tiada siapa boleh menafikannya.

"Saya fikir pada Sabtu lalu dia tidak dapat diturunkan. Sukar dipercayai dan ia adalah persembahan terbaiknya setakat ini.

"Melangkah ke gawang dengan empat gol bukan sahaja tidak masuk akal, bahkan kami semua bekerja keras. Mo berada di kedudukan tepat sepanjang masa dan dia menyudahkan kesemua peluang terhidang.

"Dia tidak melepaskan sebarang peluang dan itu sesuatu yang baik untuk kami. Semoga prestasi ini berterusan untuk kami menghidupkan peluang sehingga hujung musim ini. Jika mereka bertiga (Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino) terus menjaringkan gol, maka diharapkan ia cukup untuk kami mencapai matlamat," katanya lagi.