MANCHESTER CITY 1 LIVERPOOL 2

Mohamed Salah kembali menjaringkan gol manakala penalti Sadio Mane pada masa kecederaan memastikan kemenangan 2-1 Liverpool ke atas Manchester City dalam kempen Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di New Jersey, sebentar tadi.


Semua mata tertumpu kepada Salah di atas padang basah Stadium MetLife, dengan pemenang Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Pemain Terbaik musim 2018 itu bermula dari bangku simpanan selepas mengharungi kempen Piala Dunia 2018 dengan bahu tercedera yang menimpanya dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan Real Madrid.

Pemain fenomena dari Mesir itu -- menyumbat 44 gol dalam semua pertandingan musim lalu -- menemui sentuhan penyudah, hanya seminit selepas dimasukkan dalam babak kedua.

Salah, yang disyaki ofsaid menanduk masuk bola yang gagal dicapai Joe Hart, enam minit selepas jaringan pembukaan Leroy Sane yang meletakkan Manchester City di depan manakala satu lagi percubaan bintang Liverpool itu menggegar palang tidak lama kemudian.

Sadio Mane mensia-siakan dua peluang terbaik di penghujung perlawanan tetapi ia tidak menghalangnya untuk tampil menyempurnakan penalti pada minit ke-94 setelah penyerang muda, Dominic Solanke, dikasari.

Loris Karius mengekalkan kedudukannya di dalam kesebelasan utama biarpun melakukan kesilapan dalam aksi pembukaan ketika Liverpool tewas 1-3 kepada Borussia Dortmund sementara Virgil van Dijk, Fabinho, Andy Robertson, Georginio Wijnaldum, Adam Lallana, Nathaniel Clyne dan Daniel Sturridge diturunkan dalam kesebelasan utama.

Kehilangan ramai bintang Piala Dunia 2018, City yang dibimbing Pep Guardiola diterajui Riyad Mahrez dan Claudio Bravo sementara Sane dan Bernardo Silva antara pemain gantian susulan kekalahan 0-1 di tangan Dortmund sebelumnya.

Tidak banyak percubaan menarik dalam babak pertama. Walaupun City mempunyai peluang untuk memecah kebuntuan pada minit ke-12 ketika Lukas Nmecha menerima hantaran Mahrez, namun Karius tangkas mematahkan gerakan itu sebelum percubaan bola muntah itu terkena palang.

Pengenalan Sane dan Mane merancakkan babak kedua ketika Liverpool nyaris menembusi gawang lawan sebaik permainan bersambung.

Satu lagi percubaan Mane dinafikan di atas garisan gol selepas menghidu peluang semasa kekalutan di dalam kawasan penalti.

City kemudian memiliki peluang keemasan untuk membuka jaringan apabila Luke Bolton mengatasi Fabinho yang membolehkan Sane melepaskan rembatan dari jarak enam ela, namun usahanya dinafikan penjaga gol gantian, Caoimhim Kelleher.

Sane, bagaimanapun, gagal dikekang seminit kemudian apabila dia mempamerkan kelincahan dan tenang untuk meletakkan juara Liga Perdana itu di hadapan dengan melepasi Van Dijk dan Clyne sebelum menamatkan detik ajaib itu, lalu membuatkan Klopp menggelengkan kepalanya.

Situasi itu mendorong Salah dimasukkan sejurus permainan melewati sejam dan dia hanya memerlukan beberapa saat untuk membuktikan sentuhan berbisanya dengan melancarkan tandukan yang melepasi jangkauan Hart.

City tidak mempunyai jawapan untuk mengekang Salah, yang hampir meledak gol kedua tetapi tandukannya diselamatkan sebelum percubaannya menggegar gawang selepas menemui ruang di belakang pertahanan skuad bimbingan Guardiola.

Pengadil kemudian memberikan isyarat penalti selepas tempoh sebenar permainan melangkaui minit keempat susulan kegopohan Tosin Adarabioyo mengasari Solanke yang menerima lambungan Salah, lalu Mane tidak membuat sebarang kesilapan untuk menewaskan Hart.