Mohamed Salah telah melebihi tuntutan yang diberikan terhadapnya sejak menyertai Liverpool dari AS Roma, musim panas lalu.

Perkara itu dinyatakan oleh pengendali The Kop, Jurgen Klopp, selepas bintang Mesir itu berjaya menjaringkan tiga gol serta satu bantuan jaringan hasil daripada lima penampilan dalam liga, selain dua kali meledak gol dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Jelas Klopp, tindakan mendapatkan Salah pada peringkat awal musim perpindahan memberikan kelebihan buat bekas pemain Chelsea itu.

"Anda tidak boleh mengambil kesempatan dalam setiap perkara tetapi saya tidak terkejut dengan prestasi yang dipamerkan Salah.

"Dia mengharungi kesemua kempen pra-musim, jadi dia tidak menyesuaikan diri dalam tempoh masa yang pendek, seperti apa yang dilalui oleh Alex Oxlade-Chamberlain ketika ini.

"Salah sudah bersama kami selama beberapa minggu, jadi ia bukan satu masalah buatnya," kata Klopp.

Dalam masa sama, Liverpool hanya berjaya mengutip lapan mata setakat ini dalam saingan liga, namun bagi Klopp, dia tetap mahu menghamburkan pujian buat Salah walaupun ada pihak menyifatkannya sebagai pembelian murah.

"Berapa jumlah perpindahannya, GBP38 juta (RM214 juta)? Saya tidak mahu mengatakannya satu nilai yang murah. Salah adalah seorang pemain yang hebat dan sebab itu kami mendapatkannya.

"Sebelum ini dia berada di Chelsea, ketika itu dia masih muda. Kini dia semakin matang dan berkembang dengan baik," tambah Klopp.