Eden Hazard melabelkan Mohamed Salah sebagai pemain "bertaraf dunia" sambil meluahkan pendapat bahawa pemain sayap Liverpool itu tidak mendapat peluang yang cukup ketika bersama Chelsea.

Salah, yang tiba di Anfield dari Roma pada musim panas lalu, kini telah menjaringkan sembilan gol dan mencatat dua bantuan jaringan hasil daripada 12 penampilan dalam liga.

Ia merupakan kali kedua Salah beraksi di England, selepas beraksi di Stamford Bridge di bawah kendalian Jose Mourinho selama dua tahun pada musim 2013/14 dan 2014/15.

Menjelang aksi melibatkan The Blues dan Liverpool, Hazard tetap menunjukkan rasa hormat buat pemain Mesir berusia 25 tahun itu.

"Dia masih kawan saya. Kami masih berhubung dan saya akui dia adalah pemain yang benar-benar bertaraf dunia," kata bintang Belgium itu.

"Salah tidak meraih peluang ketika di Chelsea tetapi kami tahu akan kualiti yang dimilikinya. Banyak jaringan dihasilkan pada musim ini dan dia jelas seorang penyerang yang hebat.

"Mungkin faktor pengurus atau pemain-pemain di Chelsea yang menyebabkan dia gagal meraih tempat ketika di Stamford Bridge.

"Dia melakukan segala-galanya ketika sesi latihan dan membuktikan kualiti yang ada dalam dirinya," katanya.

Salah dipinjamkan ke Fiorentina dan Roma sebelum berhijrah secara tetap ke Rome dan menjaringkan 29 gol dalam tempoh dua tahun dalam Serie A dan Hazard menjelaskan dia akan melakukan perkara sama jika berada dalam situasi itu.

"Perasaannya bagus. Jika anda tidak beraksi, anda harus pergi.

"Semestinya anda memerlukan peluang dan dia meraihnya di Fiorentina. Dia membuktikan dirinya akan melakukan segala-galanya untuk memperoleh waktu bermain.

"Saya akan melakukan perkara sama jika berada di tempatnya," ujarnya.