Liverpool akan menjadi juara jika memenangi empat perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris musim ini, kata Mohamed Salah.

The Reds kembali ke puncak liga selepas menewaskan Chelsea 2-0 di Anfield, malam tadi.

Juara bertahan, Manchester City, memintas Liverpool buat seketika selepas menewaskan Crystal Palace 3-1 dalam perlawanan terdahulu, namun selepas Sadio Mane menjaringkan gol pembukaan Liverpool di Anfield sebelum Salah menghasilkan penyudah jarak jauh gemilang bagi memastikan tiga mata penuh buat skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Liverpool kini berkelebihan dua mata di depan City, yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan, namun akan berdepan seteru setempat, Manchester United, 24 April ini.

Liverpool pula akan berdepan lawan lebih mudah dengan dijadualkan untuk bertemu Cardiff City, Newcastle United, Huddersfield Town dan Wolves dalam empat perlawanan terakhir.

Salah berasakan mata penuh yang diperoleh dalam keempat-empat perlawanan itu akan memastikan Liverpool menjulang kejuaraan musim ini.

"Pada pandangan saya, ia boleh terjadi," katanya kepada Sky Sport ketika ditanya sama ada empat kemenangan itu mampu untuk membolehkan mereka mengetepikan City.

"Saya mengikuti perkembangan City untuk meninjau keputusan mereka.

"Ia dapat membantu kami untuk beraksi lebih baik.

"Kami menumpukan terhadap perlawanan kami, namun saya sudah tahu keputusan City (berdepan Palace)," katanya.

Salah kini berkongsi kedudukan pendahulu anugerah Kasut Emas Liga Perdana musim ini dengan penyerang City, Sergio Aguero.

"Saya tidak berfikir, saya hanya menikmatinya," katanya mengenai jaringan liganya yang ke-19 musim ini.

"Saya meluru ke dalam, dan kebiasaannya, saya lebih menggunakan bahagian dalam kaki saya, namun kali ini saya memilih untuk menggunakan lebih tenaga.

"Saya amat bernasib baik apabila bola itu menggegar jaring."