Mohamed Salah dinamakan sebagai Pemain Terbaik Afrika 2017 dalam Anugerah Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF), awal pagi tadi.

Pemain sayap Mesir itu mengatasi rakan sepasukanya di Liverpool, Sadio Mane, dan penyerang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang, untuk merangkul gelaran itu dalam majlis CAF di Accra yang menyaksikan pemain Leicester City dan Algeria, Riyad Mahrez, muncul pemenang tahun lalu.

Dalam majlis itu, Mane meraih tempat kedua disusuli Aubameyang.

"Saya sentiasa mahu berada di sini," kata Salah kepada pemberita dalam sidang akhbar sebelum majlis tersebut.

"Saya meletakkan diri saya di bawah tekanan dan mengambil risiko. Kini saya memasang cita-cita untuk menjadi pemain Mesir terbaik dalam sejarah."

Salah mengharungi tempoh 12 bulan yang mengagumkan di peringkat kelab dan antarabangsa. Hasil prestasinya itu mendorong Liverpool membelinya dari AS Roma dengan nilai perpindahan £36.9 juta (RM200.3j) selepas menamatkan kempen musim lalu dengan 15 gol dalam 31 perlawanan Serie A.

Pemain berusia 25 tahun itu menjadi lebih produktif dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menyumbang 17 gol dalam 21 penampilan di bawah kendalian Jurgen Klopp serta enam lagi dalam saingan Liga Juara-Juara.

Selain itu, dia membantu Mesir muncul finalis Piala Negara-Negara Afrika sebelum tewas 2-1 kepada Cameroon, menghasilkan dua gol dalam separuh akhir bertemu Congo selain menyempurnakan penalti untuk membawa negaranya ke Piala Dunia sejak 1990.

Jurulatih Mesir, Hector Cuper, pula dijulang sebagai Jurulatih Terbaik manakala pasukan bimbingannya memenangi Anugerah Pasukan Terbaik.

Mane, yang juga akan tampil dalam temasya Russia 2018 bersama Senegal, merakamkan lapan gol untuk Liverpool musim ini manakala musim lalu, dia merekodkan 13 gol.

Aubameyang, yang gagal menyerlahkan inspirasi kepada Gabon dalam Piala Negara-Negara Afrika di laman sendiri, tetap prolifik bersama Dortmund dengan menamatkan kempen 2016-17 sebagai penjaring terbanyak Bundesliga dengan 31 gol.

Di sebalik prestasi terumbang-ambing Dortmund, penggempur itu sudah mencetak 21 gol dalam 23 perlawanan musim ini.