Menjaringkan banyak gol mungkin tidak mendatangkan masalah buat Mohamed Salah sejak tiba di Liverpool musim lalu, namun untuk menyesuaikan diri dengan keadaan jalan raya di England memberikan masalah buat bintang Mesir itu.

The Reds menandatangani Salah daripada AS Roma melalui yuran perpindahan GBP36.9 juta (RM194 juta) pada Jun 2017 dan dia membayar pelaburan itu dengan 44 gol dalam semua kejohanan.

Pemain berusia 26 tahun itu pernah mengharungi kehidupan di England selepas berhijrah ke Chelsea dari Basel pada 2014.

Bagaimanapun, isu memandu menjadi masalah buat Salah selepas melengkapkan perpindahannya ke Merseyside.

"Dalam beberapa minggu awal, ia sangat sukar dan saya mengalami beberapa kemalangan sewaktu memandu. Kemudian, segalanya menjadi baik," kata Salah.

"Menjelang musim baru, sudah tentu saya perlu berusaha keras sekiranya ingin mengekalkan kasut emas yang dimenangi, sentiasa menjaringkan gol dalam setiap perlawanan. Saya juga perlu bersaing dengan pemain-pemain hebat seperti Harry Kane dan Sergio Aguero," ujarnya.

Menjadi tumpuan ramai di negara kelahirannya, Salah turut mendedahkan bahawa ada suatu ketika, pernah ada peminat yang bermurah hati membantunya untuk melayan kunjungan setiap orang yang datang ke rumahnya.

"Pada suatu ketika di Mesir, seorang peminat mengetuk pintu rumah saya dan mahu bergambar. Saya bersetuju tetapi dua jam kemudian, dia datang lagi bersama kira-kira lapan orang dan meminta saya bergambar dengan mereka. Saya bersetuju.

"Pada waktu malam, pintu sekali lagi pintu diketuk dan apabila dibuka, saya dapati masih individu yang sama, kali ini bersama sebuah bas yang dipenuhi orang ramai. Dia memberitahu saya bahawa kelompok orang ramai itu dibawa untuk bergambar dengan Salah dan dia terus membawa lebih ramai orang pada hari seterusnya."