Diafra Sakho telah mengesahkan dirinya sudah kembali pulih daripada kecederaan dan bersedia berkhidmat untuk West Ham.

Skuad kendalian Slaven Bilic menduduki tangga ke-14 selepas tewas 2-1 kepada Hull City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin.

West Ham mengeluarkan kenyataan untuk memberikan sokongan kepada Bilic semalam di sebalik kegagalan mereka mempamerkan aksi cemerlang dan Sakho menjelaskan dia sudah bersedia untuk kembali beraksi buat The Hammers.

"Ketika saya tiba di England, saya memiliki kecederaan belakang dan ia membelenggu saya sehingga kini," katanya.

"Saya telah berjaya menjalani pembedahan pada Disember dan saya semakin pulih.

"Saya sudah bersedia untuk kembali beraksi, saya telah meminta untuk diturunkan tetapi pegawai perubatan belum memberikan pelepasan kepada saya kerana mahu memastikan kecederaan ini tidak berulang.

"Sebelum ini, saya menjalani latihan secara bersendirian, kini saya telah menyertai skuad utama dan mahu beraksi pada bulan ini."