Saat terbaik saya tika musnahkan harapan Spurs musim lalu-- Hazard

By Staff Writer 19 November 2016 61
 Saat terbaik saya tika musnahkan harapan Spurs musim lalu-- Hazard

Eden Hazard berkata golnya musim lalu yang sekaligus menamatkan harapan Tottenham Hotspur untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris adalah saat paling manis buat dirinya.

Pemain berusia 25 tahun itu menjaringkan gol penyamaan pada minit akhir perlawanan untuk mengikat Spurs 2-2 di laman sendiri, Mei lalu.

Keputusan tersebut membuka jalan buat Leicester City muncul juara buat julung kalinya.

Chelsea menyambut jaringan tersebut dengan penuh gaya meskipun menamatkan musim lalu di kedudukan ke-10.

Hazard turut menempuh musim hambar, apabila gol dijaringkan berdepan Spurs merupakan antara empat gol disumbangkannya musim lalu.

"Pada saya, itu saat paling manis kerana Spurs adalah seteru kami," Hazard memberitahu The Guardian.

"Saya berada di bangku simpanan, kami sedang ketinggalan 2-0 ketika memasuki waktu rehat.

"Ketika itu kami berkata, 'Sudah 26 tahun sejak kali terakhir pasukan ini tewas kepada Spurs, jangan biarkan rekod itu berakhir'.

"Kata-kata itu mula menyuntik semangat dalam hati kami. Gary Cahill meledak gol daripada sepakan sudut, kemudian tiba giliran saya.

"Walaupun seri, kami berasa seperti ia satu kemenangan kerana kami menempuh musim yang teramat sukar. Kami tahu bahawa Tottenham terlalu kecewa ketika itu."

Hazard -- yang menjaringkan gol kemenangan ketika membantu Chelsea menjuarai liga pada tahun 2015 di bawah kendalian Mourinho -- menambah: "Saya menjaringkan gol penentu dua musim lalu tetapi saya harap kali ini saya mampu membantu pasukan ini kembali muncul juara."

Pemain antarabangsa Belgium ini turut memuji pengendali baharu, Antonio Conte, meskipun mengakui kadang-kala bergelut untuk menyesuaikan diri dengan taktikal baharu.

"Kalau boleh, dia mahu berada di atas padang bersama kami selaku pemain ke-12. Kamu boleh lihat dia masih seorang pemain bola sepak."

About Author

Staff Writer

Comment