Arsene Wenger menafikan bahawa Mesut Ozil dan Alexis Sanchez enggan memeterai kontrak baru bersama Arsenal kerana faktor kewangan.

Laporan di England mendakwa bintang Gunners terbabit menuntut gaji yang hampir menyamai nilai gaji pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, yang didakwa menikmati gaji sekitar GBP290,000 (RM1.6 juta) seminggu.

Wenger, bagaimanapun, menegaskan wang bukanlah masalah buat pasukan besar di mana beliau mengesahkan rundingan dengan wakil Ozil dan Sanchez masih berjalan.

"Kemewahan dalam bola sepak moden adalah biasa tapi ini bukan soal wang," katanya dalam sidang akhbar menjelang perlawanan Liga Juara-Juara dengan Basel, awal pagi esok.

"Pemain-pemain menjana keuntungan. Wang adalah bagus di mana-mana sahaja dan sesiapa jua.

"Kami mengadakan rundingan dengan ejen mereka berbanding pemain itu sendiri, jadi kami sedang dalam peringkat perbincangan, sudah tentu ia adalah normal."

Arsenal sudah pun layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara, namun mereka memburu kedudukan teratas Kumpulan A jika mereka berjaya menewaskan Ludogorets dengan keputusan yang lebih baik berbanding yang dilakar Paris Saint-Germain ke atas juara Switzerland itu.

Timbul cadangan mengaitkan Wenger akan merehatkan Sanchez yang melakar hatrik ketika menentang West Ham minggu lalu dan pengendali berusia 67 tahun itu bersedia untuk mengetepikannya.

"Apabila seseorang pemain itu sedang mengharungi kejayaan dan berada dalam keyakinan tinggi, adalah lebih berbahaya merehatkannya daripada membiarkannya meneruskan aksi," ujar beliau.

"Saya belum memutuskan barisan pemain lagi. Saya mempunyai tempoh 24 jam tapi matlamat utama kami adalah untuk memenangi perlawanan.

"Saya percaya kami mahu menang dan meneruskan rentak kemenangan kami. Anda tidak akan tahu apa yang akan berlaku di Paris nanti."