Bek kiri Tottenham, Danny Rose, percaya dia bernasib baik kerana hanya akan diketepikan untuk jangka masa pendek dengan kecederaan lutut di mana dia pada awalnya menjangkakan ia lebih serius.

Rose mengalami kecederaan pada 31 Januari lalu ketika berdepan Sunderland dan sejak itu masih belum kembali berlatih.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa England itu mengakui pada awalnya dia menjangkakan kecederaan yang lebih serius.

Dia memberitahu Sky Sports Soccer AM: "Pada awalnya, saya menjangkakan akan kembali cergas ketika ini tetapi selepas menemui pakar, dia menasihatkan saya untuk berehat selama dua minggu terlebih dahulu.

"Ketika mereka memaklumkan saya perlu berehat lebih lama, saya agak risau kecederaan saya agak teruk.

"Saya pernah menjalani pembedahan lutut sebelum ini, jadi saya bimbang senario sama berulang.

"Saya menyaksikan perlawanan ketika berdepan Stoke minggu lalu tetapi memasuki minit ke-60, saya meninggalkan stadium kerana kecewa tidak dapat beraksi."

Sementara itu, Rose mendedahkan dia ada terlintas untuk berhijrah sebelum Mauricio Pochettino mengambil alih kelab itu.

"Sebelum Pochettino tiba di White Hart Lane, saya menempuh aksi hambar sehingga timbul khabar angin bahawa saya akan dijual," kata Rose.

"Tetapi dia menghubungi ejen saya dan meminta untuk berjumpa dengan saya.

"Ketika saya menemuinya, dia berkata: 'Kamu mahu bermain untuk England? Dengar segala yang saya mahu katakan dan kamu akan mewakili England.'

"Untuk itu, saya bersyukur kerana kekal bersama Spurs."