Ketua pasukan Manchester United , Wayne Rooney, masih merupakan pemain berkelas dunia, kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

Rooney kehilangan tempat dalam kesebelasan utama kelab dan negara menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Liverpool di Anfield, awal pagi Selasa ini.

Klopp, bagaimanapun, tidak meragui Rooney masih lagi berbisa meskipun hanya menyumbang satu gol dalam 13 perlawanan musim ini.

"Rooney adalah penjaring gol dan ancaman," kata Klopp dalam sidang media pra-perlawanan.

"Tapi saya adalah pengurus Liverpool dan saya sedar saya tidak dibenarkan meminati pemain United!"

Klopp turut mengaitkan jentera serangan United dan percaya dengan kehadiran Zlatan Ibrahimovic dan Paul Pogba akan memastikan mereka tampil lebih mantap berbanding musim lalu.

United meraih dua kemenangan dalam aksi EPL musim 2015/2016 tetapi Liverpool membalas dendam dengan dua kemenangan ke atas lawan yang sama dalam saingan Liga Europa.

Tambah Klopp," (Sebelum ini) Ibrahimovic dan Pogba tiada -- mereka berdua adalah pemain berkelas dunia dan apabila berada dalam pasukan, maka pasukan itu tidak akan menjadi lebih buruk berbanding tahun lalu, itu sudah pasti.

"Malangnya ini merupakan pasukan mantap Manchester. Mereka tahu tentang bola sepak, mereka berpengalaman dan tenang pada masa yang tepat. Mereka tidak perlukan persembahan bertaraf dunia untuk memenangi perlawanan.

"Sekalipun dalam keadaan hujan, mereka masih boleh menjaringkan gol dan menang -- mereka mempunyai ciri-ciri itu dalam pasukan tapi ia tidak bermakna mereka akan memenangi perlawanan. Ia hanya bermakna mereka memiliki peluang."

Pengurus dari Jerman itu yang diangkat sebagai pengurus terbaik bulan September, sedar dengan aura pertembungan Liverpool dan United.

Kata Klopp lagi," Ia perlawanan getir di antara dua pasukan yang bagus. Mereka berkualiti tinggi dan kami perlu menghormatinya.

"Ini adalah Anfield. Kami perlu membuktikannya. Kami telah merasai suasana yang hebat tapi saya lebih terbuka dengan suasana yang terbaik.

"Kami perlukan sokongan peminat dalam perlawanan ini. Selain daripada kedudukan, ia merupakan perlawanan yang sangat penting.

"Saya tahu tentang sejarahnya, saya gemar dengan berita istimewa. Seluruh dunia akan menyaksikan perlawanan ini, ia satu penghormatan besar untuk terlibat."