Pengurus Aston Villa, Steve Bruce, percaya kapten Manchester United, Wayne Rooney, masih kekal sebagai antara pemain terbaik dunia.

Rooney terpaksa mengharungi permulaan musim yang hambar, menyaksikan dirinya diketepikan daripada kesebelasan utama buat United dan England selepas dikritik hebat mengenai prestasinya.

Pemain berusia 31 tahun itu berada dalam kesebelasan utama United ketika menewaskan Fenerbache 4-1 dalam aksi Liga Europa pada Khamis, tetapi itu merupakan kali pertama dia memulakan perlawanan sejak aksi Piala EFL berdepan Northampton Town pada 21 September.

Walaupun Rooney dilihat sudah sampai ke penghujung kariernya, Bruce menegaskan bahawa pemain itu tidak seharusnya dikritik dan kebolehannya bermain dalam banyak posisi menjadi punca prestasinya merudum.

"Wayne Rooney merupakan pemain terbaik England untuk sedekad yang lalu," kata Bruce kepada TalkSport.

"Anda harus melihat rekod jaringannya dan dia mampu berdiri dalam kalangan yang terbaik di dunia.

"Saya berpendapat Rooney agak kurang bernasib baik. Mereka telah meletakkannya di banyak posisi.

"Rooney perlu bermain sebagai penyerang dan saya jamin dia akan menjaringkan gol. Dia mampu melakukannya jika anda meletakkannya di posisi itu."