Jose Mourinho menyifatkan Wayne Rooney sebagai seorang legenda di Old Trafford selepas pemain itu melakar rekod selaku penjaring terbanyak buat Manchester United apabila menyumbang gol penyamaan berdepan Stoke City.

Pemain berusia 31 tahun itu meledak gol ke-250 buat United menerusi sepakan percuma empat minit sebelum perlawanan berakhir -- satu gol mengatasi Bobby Charlton.

Pencapaian itu mendapat pujian Mourinho yang melabelkan pemain itu kini telah menempatkan namanya dalam kalangan legenda di kelab itu.

"Ia bukan sekadar rekod biasa," Mourinho memberithau Sky Sports selepas tamat perlawanan. "Ia adalah rekod yang dilakar di sebuah kelab terbesar di England dan antara yang terbesar di dunia.

"Sebelum Rooney, rekod itu dipegang seorang legenda bola sepak di England. Kini Rooney pula melakar namanya selaku legenda Manchester United."

Sementara itu, pengendali Stoke City dan bekas pemain Manchester United, Mark Hughes, percaya Rooney kini dalam perjalanan melakar rekod yang tidak akan mampu diatasi sesiapa pun.

"Rekod itu cukup menakjubkan dan saya pasti ia tidak akan dapat dipecahkan," dia memberitahu BBC Sport.

"Ia telah mengambil masa lebih 40 tahun untuk rekod Sir Bobby dipecahkan, sekaligus membuktikan catatan itu amat sukar untuk diatasi."