Pengendali Manchester United, Jose Mourinho, menegaskan dia tidak akan sesekali menjual kapten pasukan, Wayne Rooney, meskipun pemain itu tidak mendapat tempat dalam kesebelasan pasukan.

Pemain penyerang itu, yang bakal mencecah usia 31 tahun pada Isnin, beraksi dalam kesebelasan utama ketika melakar kemenangan 4-1 ke atas Fenerbahce dalam saingan Liga Europa, Khamis lalu.

Namun, Rooney masih belum disenaraikan dalam skuad utama dalam tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Kegagalan mendapat tempat telah mencetuskan beberapa khabar angin, antaranya United berminat menjual pemain itu kepada pasukan bersaing dalam Liga Super China yang bersedia menawarkan jumlah yang besar.

Bagaimanapun, Mourinho menegaskan dia tidak pernah bercadang menamatkan karier pemain itu di Old Trafford.

"Saya tidak akan membuat keputusan itu," katanya kepada Sky Sports News.

"Pemain sepertinya tidak akan mencapai tahap di mana seorang pengurus mahu membuat keputusan itu.

"Saya tahu sukar untuk diterima apabila dia sekadar memanaskan bangku simpanan, tetapi bukan keputusan yang mudah untuk saya melakukannya kerana dia sudah dianggap pemain legenda kelab ini.

"Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, keputusan yang dibuat adalah demi kebaikan pasukan ini."

Mourinho turut mendakwa perubahan posisi yang dilaksanakan Louis van Gaal dan Roy Hodgson bersama England sebelum ini jadi punca penurunan prestasi pemain itu.

Sementara itu, pengendali Manchester City, Pep Guardiola, berkata bintang Argentina, Sergio Aguero, dibenarkan meninggalkan kelab itu sekiranya itu adalah hasratnya.

Desas-desus mengenai ketegangan hubungan Aguero dan Guardiola mula timbul apabila pemain penyerang itu tidak diturunkan ketika aksi kumpulan Liga Juara-Juara Eropah berdepan Barcelona minggu lalu.

Meskipun Aguero dijangka menandatangani kontrak baru yang akan menyaksikan pemain itu kekal di Etihad sehingga tahun 2020, Pep menegaskan pemilihan pemain ketika itu berlandaskan taktikal semata-mata.

"Saya mahu memperkuatkan barisan tengah, saya berbincang dengan Aguero terlebih dahulu sebelum ini dan dia cukup memahami," jelasnya.