Wayne Rooney berkata dia seakan-akan mendapat semangat baru di Goodison Park selepas meledak gol tunggal perlawanan bagi membantu Everton menewaskan Stoke City, 1-0, malam tadi.

Pemain berusia 31 tahun itu menerima hantaran Dominic-Calvert-Lewin di hujung babak pertama untuk menghasilkan gol pertamanya musim ini selepas meninggalkan Manchester United hujung musim lalu.

Ia merupakan gol ke-199 pemain itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris di samping membawa Everton memasuki era baru dengan lima pemain membuat aksi pertama bersama The Toffees.

Selepas menempuh penghujung karier yang sukar di Old Trafford, bekas kapten England itu tidak menghampakan peluang keduanya menyarung jersi Everton.

"Sekali lagi bermain untuk kelab ini membawa makna besar dalam hidup saya," Rooney memberitahu Sky Sports.

"Meledak gol dalam aksi pertama di Goodison Park, ini adalah saat yang terbaik.

"Stoke merupakan pasukan yang bagus, jadi perlawanan ini agak sukar.

"Kami bakal berhadapan perlawanan sengit selepas ini. Maka penting untuk kami memulakan aksi pertama dengan kemenangan bagi menyuntik keyakinan dalam aksi seterusnya."