Penyerang Everton, Wayne Rooney, bertekad memberi fokus sepenuhnya terhadap karier bola sepaknya selepas membuat penampilan kompetitif pertama berdepan Ruzomberok dalam kelayakan Liga Europa, awal pagi tadi.

Rooney beraksi sepanjang 90 minit, namun bergelut dalam menghasilkan jaringan sebelum ditukarkan ke posisi berlainan apabila pengurus, Ronald Koeman, membawa masuk Sandro Ramirez dalam babak kedua.

Bek kiri, Leighton Baines, meledak gol tunggal perlawanan, sekaligus memberikan kelebihan buat Everton yang akan beraksi di Goodison Park dalam aksi kedua, minggu depan.

"Ini adalah hari yang baik, saya tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan kedua," kata Rooney kepada ITV.

"Kami masih di peringkat awal pra-musim, jadi kami mampu beraksi lebih baik. Kemenangan ini amat penting di samping memastikan gawang kami tidak bolos.

"Kami menguasai perlawanan lebih baik apabila posisi saya berubah kerana kami dapat menguasai kawasan tengah degan lebih baik.

"Saya sudah menyatakan beberapa kali, satu perasaan yang baik untuk beraksi dalam jersi berwarna biru.

"Saya mengetepikan emosi dan kini saya mampu memberi fokus sepenuhnya."

Koeman berpuas hati dengan persembahan Rooney meskipun bekas kapten Manchester United itu mempersiakan beberapa peluang keemasan.

"Bukan mudah, apatah lagi dia dikelilingi ramai pemain pertahanan.

"Dia mendapat ruang lebih terbuka sebaik Sandro dimasukkan," ujar Koeman.

Meskipun kelab Slovakia itu memberi saingan sengit, namun Koeman yakin skuad kendaliannya mampu mengesahkan kemenangan dalam aksi kedua.

"Sukar untuk meledak gol apabila pasukan lawan menerapkan corak bertahan. Kami sedar kami belum mencapai tahap 100 peratus," jelasnya.