Pemain yang baru menyertai Everton, Theo Walcott, mendedahkan bahawa Wayne Rooney menjadi watak penting untuknya membuat keputusan berhijrah ke Goodison Park.

Semalam, pemain berusia 28 tahun itu melengkapkan perpindahan bernilai GBP20 juta (RM109 juta) dari Arsenal dan dia menyifatkan tindakan Rooney meyakinkannya untuk menyertai The Toffees.

"Saya mempunyai beberapa perbualan dengan Rooney dan ia menjadi sebab utama saya datang ke Everton.

"Dia memberitahu saya bahawa di sini adalah tempat yang bagus untuk bermain bola sepak dan saya membuat keputusan untuk menyertainya.

"Pasukan ini mempunyai sejarah serta penyokong yang hebat dan Rooney bmerasakan bahawa Everton akan meningkat naik," katanya.

Walcott menjaringkan 19 gol buat Arsenal dalam semua kejohanan pada musim lalu, namun kini bergelut untuk mendapat perhatian Arsene Wenger dan dia yakin mampu kembali ke prestasi terbaik bersama Everton.

"Saya berbangga dengan 19 gol yang saya catatkan pada musim lalu dan mahu melakukannya lagi bersama Everton.

"Segala-galanya bergantung kepada kerja keras dan saya yakin pengurus di sini akan cuba mendapatkan aksi terbaik daripada semua pemain," ujarnya.