Wayne Rooney mengakui dilanda pelbagai emosi tatkala dia menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah Manchester United selepas meledak gol penyamaan pada minit akhir perlawanan berdepan Stoke City, semalam.

Kapten United itu menjaringkan gol ke-250 -- satu gol melebihi Sir Bobby Charlton -- menerusi sepakan percuma empat minit sebelum tamat perlawanan manakala Juan Mata menjaringkan gol sendiri buat pasukan tuan rumah di Stadium bet365.

Rooney berkata rekod itu satu kebanggaan buat dirinya, namun mengakui kegagalan untuk mengutip tiga mata buat kali kedua berturut-turut mengecewakan dirinya.

"Rekod itu cukup bermakna, saya sangat berbangga.

"Bagaimanapun, sukar untuk berasa terlalu gembira kerana kami gagal melakar kemenangan, namun secara keseluruhan rekod ini satu kebanggaan.

"Saya tidak pernah menjangkakannya dari hari pertama saya menyertai kelab ini."

United kini hanya satu mata di belakang Manchester City yang menduduki tempat kelima liga dan Rooney berpendapat kutipan satu mata itu mungkin akan memainkan peranan penting pada hujung musim.

"Perjalanan masih jauh, kita telah lihat dalam tempoh beberapa minggu ini banyak perkara boleh berlaku."