Fabio Capello mendakwa Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo bersikap kurang rasa hormat setelah kedua-duanya tidak menghadiri majlis Anugerah Pemain Terbaik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di London, awal pagi tadi.

Messi merupakan pemain yang secara kontroversinya gagal menempatkan diri dalam pencalonan Anugerah Pemain Lelaki Terbaik yang menyaksikan Luka Modric meraih gelaran utama di hadapan Ronaldo dan bintang Liverpool, Mohamed Salah.

Sehubungan itu, Capello membidas Ronaldo dan Messi memandangkan kedua-duanya tersenarai dalam Kesebelasan Dunia FIFPro tetapi tidak muncul di London.

"Ini adalah sikap kurangnya rasa hormat kepada para pemain, FIFA dan dunia bola sepak," Capello memberitahu TVE.

"Barangkali mereka sudah menang terlalu banyak dan tidak suka kalah. Dalam kehidupan, anda perlu bersikap baik apabila menang dan kalah."

Diego Forlan turut senada dengan Capello sambil menambah bahawa Ronaldo dan Messi harus memberikan contoh yang lebih baik.

"Sayang sekali, Messi menghadiri gala tahun lalu dan dia tidak menang," kata Forlan.

"Ini adalah satu majlis istimewa buat setiap pemain dan penting untuk berada di sini.

"Tidak kira siapa yang menang, pemain perlu memperlihatkan sikap dan tindakan kerana mereka adalah ikutan dunia," ujarnya.