Sergio Romero terlibat dalam satu kemalangan jalan raya malam tadi, namun penjaga gol Manchester United itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beberapa gambar menunjukkan kereta mewah Lamborghini yang dipandu Romero terbabas di sekitar pusat latihan United di Carrington.

United, bagaimanapun, mengesahkan kepada Omnisport bahawa penjaga gol itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dapat meneruskan latihan seperti biasa menjelang pertemuan dengan Burnley dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi lusa.

Pemain kebangsaan Argentina itu dilihat menjadi pilihan kedua di belakang David de Gea walaupun kerap diturunkan dalam kejohanan piala.

Penjaga gol berusia 32 tahun itu melakukan sembilan penampilan sepanjang musim ini dengan kali terakhir diturunkan ketika United menewaskan Wolves 1-0 dalam perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA, Khamis lalu.

Sejak menyertai pasukan itu daripada Sampdoria pada 2015, Romero telah beraksi sebanyak 54 kali dan membantu United meraih kejuaraan Piala EFL, Pala FA dan Liga Europa.




Editor: Muzaffar Musa