Pengurus Crystal Palace, Alan Pardew, berpendapat Marcos Rojo sepatutnya dilayangkan kad merah susulan membuat terjahan keras ketika pasukannya tewas 2-1 kepada Manchester United pada Rabu.

Zlatan Ibrahimovic muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-88 tatkala perlawanan diselubungi insiden kontorversi.

Rojo melakukan terjahan dengan kedua-dua kaki terhadap Wilfried Zaha, namun pemain antarabangsa Argentina itu sekadar dilayangkan kad kuning.

Pemain pertahanan itu turut melakukan terjahan sama ketika aksi berdepan Everton, dua minggu lalu dan turut terselamat daripada dibuang padang.

Bercakap tentang terjahan tersebut, Pardew berkata: "Berdiri di tepi padang, saya dapat menyaksikan terjahan itu cukup keras.

"Dia menerjah dengan kedua-dua kakinya dan sepatutnya dia dibuang padang."

Pardew turut kecewa dengan jaringan pembukaan Paul Pogba.

Ulang tayang menunjukkan bahawa Ibrahimovic telah menggunakan tangannya untuk membuat hantaran kepada Pogba dan timbul persoalan bahawa pemain antarabangsa Perancis itu berada dalam kedudukan ofsaid sebelum menjaringkan gol.

"Penjaga garisan sepatutnya nampak apa yang berlaku," tambah Pardew. "Dari kedudukan saya, (ia) sepatutnya ofsaid."

Palace kini menghuni kedudukan ke-16 liga, hanya tiga mata dipisahkan daripada zon penyingkiran selepas hanya mencatat satu kemenangan daripada 10 perlawanan.

Bagaimanapun, Pardew kekal optimis pasukannya masih berpeluang untuk memperbaiki kedudukan.