Aymeric Laporte dan Ederson yakin Rodri adalah pemain yang tepat untuk memberikan saingan kepada Fernandinho bagi membarisi bahagian tengah Manchester City.

City tidak mempunyai alternatif yang tulen sebagai pengganti kepada Fernandinho yang memainkan peranan utama musim lalu, namun Rodri tiba daripada Atletico Madrid dengan kontrak bernilai £63 juta (RM318.7j).

Rodri diturunkan dalam kesebelasan utama menentang West Ham, Sabtu lalu, untuk membantu kemenangan 5-0 di Stadium London.

Laporte memuji keupayaan pemain tengah berkenaan untuk membuat hantaran dalam ruang kecil di kawasan tengah padang sambil membandingkan pemain Sepanyol itu dengan Fernandinho.

"Dia boleh melakukannya di tahap Fernandinho," kata Laporte kepada The Athletic. "Fernandinho mampu melakukan banyak perkara.

"Saya fikir kedua-duanya cukup bagus. Mereka banyak menyumbang kepada pasukan, khususnya apabila kami memulakan permainan dari belakang."

Penjaga gawang, Ederson, mengakui betapa pentingnya City untuk memiliki pilihan pemain di posisi tertentu yang disifatkan sebagai kurang persaingan.

"Aksinya mirip Fernandinho. Dia kental di udara, dia membantu serangan dengan baik dan bersaing merebut bola dengan baik," tambah Ederson.

"Itu faktor penting kerana musim lalu, kami hanya mempunyai Fernandinho di posisi itu dan sekarang, kami sudah mempunyai dua pemain yang hebat."