Brendan Rodgers tenang berhubung masa depan pertahanan Leicester City, Harry Maguire, yang terus dikaitkan dengan Manchester United.

Tonggak England itu menerima dua tawaran daripada United yang ditolak awal bulan ini sementara seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, dilaporkan turut berminat.

Maguire, yang The Foxes menganggarkannya bernilai sekitar £80 juta (RM409.8j), muncul dalam kesebelasan Leicester dalam kemenangan pra-musim di Cambridge United semalam dengan menjaringkan gol pertama mereka menerusi tandukan.

Sungguhpun masa depannya terus menjadi subjek spekulasi, Rodgers tidak peduli dengan situasi yang membayangi aset berharga Leicester itu.

"Kami tenang sahaja," kata Rodgers kepada Sky Sports.

"Kelab-kelab yang telah berurusan dengan Leicester gagal mengemukakan nilai yang dikehendaki, maka buat masa ini dia masih merupakan pemain Leicester dan anda boleh lihat fokusnya di mana dan ia ada di sini.

"Buat masa ini tiada apa-apa yang mampu menggoda kelab ini. Kami tidak perlu menjual pemain dan kelab memang tidak mahu menjual.

"Harry berlatih dengan baik dengan sekumpulan pemain yang hebat di sebuah kelab yang hebat dan seperti yang saya katakan, bola sepak sentiasa mengalami perubahan. Kadang-kadang dengan kelab lain anda perlu menjual pemain tetapi kali ini, ia tidak berlaku.

"Dia sedang berlatih dan apa yang saya boleh katakan ialah dia begitu profesional. Saya gembira untuk bekerjasama dengannya kerana saya pernah berada dalam situasi ini dengan beberapa pemain lain tetapi dia menonjolkan keamatan tinggi di sini.

"Lihat sahaja persembahannya, termasuk dalam latihan setiap hari, kerana dia benar-benar adalah seorang pemain berkelas tinggi."

Begitupun, ditanya sekiranya Maguire ingin kekal bersama The Foxes, Rodgers menambah: "Bukan saya untuk mengatakannya."