Rodgers pertahan Lampard mampu berjaya di Chelsea

By Staff Writer 17 August 2019 852
Rodgers pertahan Lampard mampu berjaya di Chelsea
Brendan Rodgers berkata Frank Lampard adalah pengendali tepat untuk membimbing Chelsea.

Lampard tewas dalam dua aksi kompetitif awal sejak mengendalikan The Blues, tunduk 4-0 di tangan Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris sebelum kegagalan Tammy Abraham menyempurnakan sepakan penalti membuatkan mereka gagal mengatasi Liverpool dalam aksi Piala Super UEFA.

Chelsea bakal melayan kunjungan skuad kendalian Rodgers, Leicester City, yang seri 0-0 menentang Wolverhampton Wanderers sebelum ini tatkala Lampard akan mengharungi perlawanan pertama di laman sendiri.

Meskipun melalui permulaan yang buruk, Rodgers percaya bekas pengurus Derby County itu individu yang tepat buat Chelsea, kelab yang diperkuatkan oleh pemain tengah England itu selama 13 tahun serta bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman buat The Blues.

"Saya rasa Lampard menjalankan tugas dengan baik sejak dia hadir," katanya.

"Ini adalah pasukan yang menduduki tangga ketiga liga serta menjuarai Liga Europa musim lalu. Lampard orang yang tepat untuk mereka. Dia dan Jody Morris faham persekitaran kelab.

"Anda perlu akui dia pernah berada di situ dalam tempoh yang lama, jadi dia memahami pasukan serta harapan yang diberikan.

"Dia adalah wira buat peminat. Dia mahu menang dan berjaya sebagai seorang pengurus. Dia mempunyai barisan kejurulatihan yang bagus serta memahami Chelsea, jadi dia memiliki sokongan."

About Author

Staff Writer

Comment