Bryan Robson berkata Manchester United perlu mengulangi persembahan ketika zaman Alex Ferguson dan tidak boleh ketinggalan kepada Manchester City dalam perebutan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL).

Skuad kendalian Pep Guardiola itu hanya kehilangan dua mata dalam 13 perlawanan musim ini di samping menjaringkan 42 gol sejak permulaan musim 2017-18.

United merupakan pasukan terbaik mengejar pendahulu liga tersebu, tetapi masih ketinggalan lapan mata.

Bekas pemain tengah United dan England, Robson, menyifatkan City sudah mula menonjolkan kelemahan tetapi percaya The Red Devils masih bertenaga untuk mengharungi musim ini.

"Ia merupakan musim yang sangat panjang. United memiliki musim yang baik setakat ini di bawah kendalian Jose Mourinho," kata Robson.

"Mereka berada dalam posisi yang sangat baik tetapi City berada pada tahap yang berbeza.

"Tetapi ketika saya beraksi di bawah kendalian Alex Ferguson, beliau sentiasa menasihatkan kami supaya terus mengikut rentak permainan mereka hingga penghujung tahun.

"Ketika itu, anda akan dapat melihat terdapat pemain yang mula mendapat kecederaan, kehilangan rentak beraksi dan ia adalah peluang anda untuk memintas mereka," katanya lagi.