Bryan Robson mengenal pasti bintang Arsenal, Alexis Sanchez, adalah pemain yang beliau ingin didapatkan oleh Manchester United, musim panas ini.

Sanchez masih belum menandatangani kontrak baru di Stadium Emirates -- dengan kontraknya bakal tamat pada 2018 dan United merupakan antara pasukan yang telah dikaitkan dengan pemain kebangsaan Chile itu.

Hakikat bahawa Arsenal terlepas aksi Liga Juara-Juara (UCL) mengukuhkan lagi alasan buat Sanchez mencari peluang untuk meninggalkan The Gunners dan bekas kapten United, Robson, berharap Jose Mourinho akan mengambil langkah sewajarnya.

"Sanchez memiliki perwatakan yang sesuai, seorang pemain yang berkemahiran dengan bola dan sentiasa bekerja keras," kata Robson.

"Dia mampu mencipta dan menjaringkan gol.

"Jika kita gabungkan semua itu, dia adalah pemain yang sesuai untuk United."

Bagaimanapun, Robson menyedari United menghadapi cabaran sukar untuk membawa keluar Sanchez daripada Arsenal.

"Enam pasukan teratas dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) menghadapi tahap kesukaran yang sama. Mereka terpaksa bersaing dengan kelab gergasi Eropah seperti Real Madrid,Barcelona dan Bayern Munich."

Sanchez telah menjaringkan 30 gol dalam semua pertandingan bagi musim 2016-17 dan Arsenal menamatkan saingan EPL di tempat kelima dan menjuarai Piala FA.