Robertson membara hadapi rakan senegara di Old Trafford  

By Staff Writer 17 October 2019 1349
Robertson membara hadapi rakan senegara di Old Trafford  
Pertahanan Liverpool, Andy Robertson, akan bertembung dengan Scott McTominay dan berkata rakan sepasukannya dalam skuad Scotland itu telah mengharungi musim yang "sangat baik" bersama Manchester United musim ini.

Rakan senegara itu akan bersemuka ketika Liverpool berkunjung ke Old Trafford dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL), malam Ahad ini. 

McTominay telah memulakan kelapan-lapan perlawanan liga dalam kempen mengecewakan buat The Red Devils apabila terperosok di tangga ke-12 selepas hanya memenangi dua perlawanan.

Walaupun bergelut di kelabnya, pemain berusia 22 tahun itu dipuji atas persembahan memberangsangkan. 

"Dia sangat cemerlang sepanjang musim ini walaupun United dikritik. Saya fikir dia membawa dirinya dengan baik," kata Robertson seperti dipetik dalam beberapa akhbar British.

"Saya tidak sabar-sabar lagi untuk menghadapinya Ahad ini. Sudah tentu saya mahu mengatasinya."

Tatkala bakal tuan rumah itu bergelut dalam kempen penuh pertama di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer, Liverpool pula kini gah di puncak liga setelah membuat permulaan yang sempurna.

Bagaimanapun, The Reds gagal menang ke atas United dalam lima perlawanan terakhir -- sesuatu yang Robertson sasarkan untuk ubah. 

"Saya rasa apa yang membuatkan perlawanan ini begitu istimewa adalah sejarahnya," katanya. "Terdapat banyak pertembungan hebat sejak sekian lama. 

"Kedua-dua pasukan sentiasa memberikan saingan sengit. 

"Ia sentiasa seperti itu dan akan menjadi suasana yang berbeza apabila anda menentang mereka. Kami sentiasa teruja dengan perlawanan ini. 

"Sejak saya menjadi pemain Liverpool, kami tidak pernah berjaya meraih kemenangan di Old Trafford, jadi saya berharap dapat mengubahnya Ahad ini."
 

About Author

Staff Writer

Comment