Bekas ketua pasukan Republik Ireland, Robbie Keane, dilihat berlatih bersama Al Ahli di tengah-tengah spekulasi mengenai kelab baru yang bakal disertainya.

Pemain berusia 36 tahun itu merupakan ejen bebas sejak meninggalkan LA Galaxy, November lalu, dan selepas lima tahun berkelana ke Liga Bola Sepak Utama (MLS), khidmatnya terus tagih apabila dikaitkan dengan beberapa kelab England seperti Sunderland.

Al Ahli menerusi laman Twitter menerbitkan imej Keane sedang menjalani latihan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan kapsyen, "Bintang Ireland, Robbie Keane mengambil bahagian dalam sesi latihan pagi."

Preston North End, Wolves dan Leeds United adalah antara kelab yang dilaporkan berminat dengan penjaring terbaik Ireland itu, yang menegaskan tidak akan bersara selepas meninggalkan Galaxy.

Bekas penggempur Liverpool dan Tottenham Hotspur itu pada bulan lalu mendedahkan, dia telah menolak beberapa lamaran dan masih mempertimbangkan tawaran lagi.